Ak Ay Dalam Kenangan





Tanggal 2 May 2003 Jumaat,

matinya seorang insan malang yang cacat,

hadirnya selama hadir ingatanku terhadap dunia fana ini,

wajahnya masih terbayang

menghimbau puluhan aidilfitri yang silam,

 

Ak Ay, Oh Ayah Him,

masih aku lihat dengan segar wajahmu tatkala menerima kunjungan kami

kau duduk di sisi ibu tua yang setia walau kepayahan

hanya kamu berdua tahu erti kesusahan dan keperihan hidup yang sementara ini

hari ini aku menangis mengenang nasibmu dan matimu

dan budi pertolongan yang tidak sempat kuhulur lagi

tiada dapat lagi kuberi engkau walau seringgit dua

atau secawan kopi, sepiring mee

 

Ak Ay,

engkau mungkin tidak tahu

dirimu yang paling waras antara saudara lelakimu

kalau aku hanya boleh pilih satu

hanya engkau kupanggil bapa saudaraku

 

Ak Ay,

kutahu engkau kini berada di sisi Yang Esa,

kerana telah kau bayar harga bahagia abadi

dengan hina dan sengsara engkau di dunia

 

Kesalku tetap kesal juga

kenapa tidak kutolong kau sedayaku

engkau yatim dan tidak sempurna

adik ibuku yang patut kubela

kenapa sekian lama tidak kujenguk

dan hari itu mengapa tidak kuberhentikan kereta

tatkala melihat kau di tepi jalan

berkain pelikat lusuh, tidak berbaju

melihat ke sisi, berdirimu sedikit condong seperti selalu

tanganmu menggenggam sesuatu

kenapa tidak kuberimu barang sepuluh minit dari hari itu

untuk bertanya khabar dan bersalaman

sebelum meneruskan perjalanan

 

Hari ini aku baru mengerti

kenapa engkau sering tertawa sendiri

meski tiada yang zahirnya lucu

engkau tertawa melihat

telatah kami yang cacat dalam sempurna

telah kau lihat pada diri kami

cacat peribadi dan pekerti

 

Ak Ay,

aku menangisi matimu,

walau ia mungkin lebih baik untukmu,

kerana terlintas dihatiku

kau juga punya mimpi

untuk bahagia dan mengecap nikmat di dunia

yang telah dicuri dalam sedar

oleh insan yang sebenarnya lebih malang darimu

 

Kutangisi impianmu yang tak kesampaian

bersama kesalku yang tak berkesudahan

 

Berehatlah Ak Ay,

tiada lagi tempat berderat untuk kau jejaki

tiada ranting kecil dan anak batu yang perlu kau kutip

malam yang gelap dan sejuk berhujan

sudah berakhir

sunyimu tanpa emak yang pergi dulu

sudah berganti dengan tidur anugerah Tuhan

sementara menanti bangun

untuk pulang ke kampung asal

 

 

Doaku kepada Ilahi

kita ketemu lagi di perhentian abadi

mimpiku engkau akan putih bersih tanpa cela

sempurna tutur dan tubuhmu

berdirimu tegak, mudah

muliamu di sisi Yang Pemurah

 

--- anak saudara

--- yang tetap kau cam

 

nenek